
Konsep 1Malaysia seharusnya didasarkan kepada konsep Perpaduan Kaum yang telah berjaya mengekalkan keharmonian negara semenjak ianya diperkenalkan lagi.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan kepercayaan agama, konsep dan definisi “Malaysian Malaysia”, “Negara Islam” dan “Kesamarataan” seperti yang dicanangkan oleh pembangkang adalah mustahil dilaksanakan malah jika dipaksa pelaksanaannya akan menemui kegagalan kerana amat sukar menemui formula yang dapat memberi kepuasan kepada semua kaum.
Rakyat Malaysia daripada kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain, amat berpegang teguh kepada adat resam dan budaya masing-masing, dan selama ini kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana kaum untuk mengekalkan identiti kaum mereka, termasuklah bahasa ibunda. Hasilnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian budaya sehingga dapat gelaran “Malaysia, Truely Asia”. Kerharmonian dicapai kerana sifat rakyat Malaysia yang toleransi, saling menghormati serta kerjasama dalam menjalankan kehidupan. Kemakmuran negara dicapai kerana kerajaan memberi kebebasan malah bantuan kepada semua rakyat untuk membangunkan diri melalui pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Identiti kaum, adat resam dan budaya, kepercayaan agama tidak perlu dikorbankan demi mencapai satu negara Malaysia yang aman, makmur dan maju, berdasarkan kepada konsep 1Malaysia ini. Apa yang perlu dilakukan ialah setiap rakyat perlu menanam sifat Cinta Negara dalam diri masing-masing serta amalan Rukunegara dan bertekad untuk meneruskan kerjasama tanpa ada prasangka sesama sendiri demi masa depan negara yang lebih cemerlang.
Permulaan yang terbaik ke arah ini adalah penekanan terhadap pendidikan sivik di sekolah-sekolah untuk menerapkan nilai-nilai murni di sanubari anak-anak Malaysia. Kempen-kempen kenegaraan (pemahaman tentang sejarah, perlembagaan negara, Rukunegara, variasi budaya, dan sebagainya) melibatkan pelajar-pelajar semua peringkat perlu juga dipergiatkan dan dilakukan berterusan.
Faktor-faktor persamaan di kalangan kaum di Malaysia hendaklah dikenalpasti dan disemai sebaik-baiknya. Paling terbukti berkesan adalah bidang sukan dan rekreasi yang selalunya tidak mempunyai batas adat dan agama. Kita lihat dalam aktiviti sukan dan rekreasi rakyat Malaysia menjadi “buta warna” sama ada mereka yang mengambil bahagian atau menjadi penyokong. Yang kelihatan adalah semua orang bekerja dalam satu pasukan di bawah bendera Jalur Gemilang yang megah. Bidang lain yang berpontensi untuk dijadikan landasan persamaan ini termasuk pendidikan, peranan di bidang perkhidmatan dan aktiviti ekonomi.
Batu penghalang yang menggugat matlamat 1Malaysia harus segera dihapuskan. Ini termasuk anasir-anasir yang menghasut rakyat sehingga timbul ketegangan, fitnah terhadap pemimpin, dan perasaan buruk sangka terhadap kerajaan. Kerajaan juga harus tangkas menangani isu-isu yang kadang-kadang dianggap remeh, tetapi isu-isu inilah sebenarnya membuat ramai golongan “terlupa” agenda besar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan semenjak Perdana Menteri yang pertama lagi.
Rakyat tidak mahu diumpan dengan janji-janji, kata-kata manis dan retorik kerana dalam era komunikasi ini rakyat, khususnya golongan muda, kini lebih terdedah dan terpengaruh kepada pelbagai maklumat yang disogok oleh Media Alternatif khususnya Internet, walaupun itu lebih banyak meracun fikiran mereka daripada memberi kesedaran.
Setelah menyebut adat resam, budaya dan agama setiap kaum harus dikekalkan, satu perkara perlu dilakukan untuk mengikat semua kaum sebagai satu bangsa Malaysia, kerana tanpa dapat melakukan ini tidak banyak perubahan akan berlaku. Perkara yang dimaksudkan adalah bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu – ianya hendaklah dijadikan bahasa pertuturan dan komunikasi yang diwajibkan di sekolah, semasa berhubung dengan jabatan dan agensi kerajaan serta dalam urusan perdagangan dan sebagainya. Bahasa sebenarnya adalah identiti bangsa. 1Malaysia sukar direalisasikan tanpa wujudnya 1BahasaMalaysia.


AJK PKR Putrajaya http://jamilismail.blogspot.com
antijk
April 23, 2009 11:40 PM